Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, menjelaskan berita mengenai tarikh penganjuran Sukan SEA Hanoi pada 31 Mei 2022 hanyalah khabar angin.

Sebaliknya, perkara ini akan dibincangkan dalam dua mesyuarat berbeza di antara Jawatankuasa Olimpik Vietnam dan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) hujung bulan ini.

"Dalam perbincangan lalu, kami memberi ruang kepada Kerajaan Vietnam dan Jawatankuasa Sukan SEA Vietnam untuk memberi kata putus dalam Mesyuarat SEAGF pada bulan ini.

"Buat masa ini kami belum mendapat pengesahan daripada mereka dan tarikh (yang dicadangkan) itu perlu diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Sukan SEA (terlebih dahulu).

"Khabar angin awal mengenai Vietnam mungkin akan menganjurkan pada Mei depan masih perlu disahkan oleh Majlis Jawatankuasa Sukan SEA," katanya.

Julai lalu, MOM mengesahkan Sukan SEA 2021 yang sepatutnya berlangsung hujung November depan terpaksa ditunda ke tahun depan.

Keputusan terbabit dicapai selepas mesyuarat SEAGF bersama 10 negara yang bersetuju dengan penundaan itu.