Ketiadaan jaguh badminton negara, Lee Zii Jia, dalam Sukan SEA bukan satu masalah kerana ada ramai pemain perseorangan lelaki yang berupaya meneruskan kesinambungan juara Seluruh England 2021 dalam sukan bertemasya itu.

Pandangan itu dilontarkan Pengarah Teknikal Remaja Persatuan Badmiton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, susulan keputusan badan induk itu untuk tidak menyenaraikan kudrat elit.

Bagi kempen Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam, BAM mengesahkan perancangan mempertaruhkan gandingan bakat pelapis dan remaja.

"Kami ada pelapis yang sedang dibina dan ada juga beberapa pemain yang baru diserap masuk -- bergantung kepada perancangan yang perlu dibuat.

"Tetapi untuk masa depan, kita ada pelapis yang kuat juga untuk diketengahkan.

"Jadi jangan kira apa jua keputusan yang diraih kelak tetapi pendedahan amat penting untuk mereka," katanya.

RESULTS: Orleans Masters 2021 R2 #MAS ?? Cheam June Wei def. #GER ?? Samuel Hsiao 21-18 21-15 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Wednesday, March 24, 2021


Dalam skuad pelapis senior, nama seperti Lim Chong King serta Aidil Soleh Ali Sadikin yang pernah mendapat tunjuk ajar Misbun menjadi calon utama.

Pilihan mewakili negara juga mungkin beralih kepada graduan skuad remaja 2020, Jackie Kok dan Ong Ken Yon, mahupun pemain terbaik remaja ketika ini, Justin Hoh.

Dalam edisi di Filipina dua tahun lalu, Zii Jia memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki di samping perseorangan wanita dan beregu lelaki.