Beregu lelaki badminton meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri, sudah bersedia menggalas cabaran getir dalam Sukan SEA Vietnam, November depan.

Mereka masih menaruh harapan untuk menjadi tonggak negara dalam misi mempertahankan pingat emas dalam temasya dwi-tahunan itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari awal-awal lagi sudah mencanangkan bakal menggunakan pemain pelapis dan remaja dalam temasya di Hanoi itu.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, bekas pasangan nombor satu dunia remaja itu dalam pertimbangannya, apatah lagi bersandarkan kejayaan mereka meraih gelaran senior pertama dengan menawan Terbuka Austria, minggu lalu.

Tiga tahun lalu ketika dalam edisi di Filipina, Aaron Chia-Soh Wooi Yik- menamatkan penantian 16 tahun negara untuk menggondol emas Sukan SEA dalam acara beregu lelaki.

"Saya teruja, mahu buat yang terbaik. bukan senang dapat peluang ini, lagipun kami baru 19 tahun," kata Haikal ketika ditemu bual maya wartawan Astro Arena, Adam Zamri, hari ini.




Kedua-dua pemain itu juga akur sekiranya barisan kejurulatihan merombak gandingan mereka pemain lebih berpengalaman sempena kejohanan berkenaan.

"Kami hendak buktikan kepada jurulatih-jurulatih bahawa kami boleh menang dalam Sukan SEA.

"Kami tidak kisah digandingkan dengan sesiapa jua, terpulang kepada jurulatih.

"Kami perlu bersedia, tidak boleh takut-takut," kata Wan Arif pula.