Menamatkan kemarau kejuaraan bertaraf antarabangsa menjadi suntikan semangat terbaik buat beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, namun mereka bertegas pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur tetap menjadi misi utama.

Kejayaan mengungguli GP Emas Terbuka New Zealand, semalam, adalah kejuaraan pertama gandingan ini sejak GP Emas Terbuka Indonesia 2011.

Ini petanda positif memandangkan mereka berada dibawah tekanan tinggi susulan krisis prestasi yang dialami pasca Sukan Olimpik Rio 2016.

Vivian-Khe Wei mempamerkan perwatakan mengagumkan apabila mampu muncul juara meskipun pada satu ketika ketinggalan 16-19 dalam set ketiga, sekaligus mendapat puijian Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

"Semangat berjuang mereka sangat baik. Saya menikmati permainan mereka yang cukup berkualiti.

"Mereka melakukan pukulan pada masa yang betul dan mereka berani untuk melakukannya. Ini satu perkembangan yang baik daripada mereka," jelas Frost.

Masa depan kedua-dua pemain ini untuk kekal sebagai beregu no.1 negara bergantung kepada prestasi dalam temasya KL2017.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan dua sasaran pingat bagi beregu wanita dan beregu campuran.

"Saya tidak rasa kami mampu melakukan keputusan dalam masa terdekat. Buat masa ini, kami sedang menilai prestasi masing-masing. Saya boleh katakan beregu wanita negara semakin mendapat pemain berkualiti," tambah Frost.