Impak pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan kepada pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou.

Bagaimanapun, semangat tidak pernah luntur Datuk Lee Chong Wei dalam memburu pingat emas Sukan Olimpik, dijadikannya sebagai insipirasi di sebalik penangguhan Sukan Paralimpik Tokyo ke tahun depan.

Menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, Liek Hou berkata: "Faktor umur merupakan sesuatu yang menjejaskan saya tetapi apabila melihat Datuk Lee Chong Wei masih boleh bertanding di pentas Sukan Olimpik pada usia 35 atau 36 tahun, mengapa saya tidak boleh melakukannya pada usia 33 tahun?

"Jadi, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai faktor umur," katanya.

Ditanya mengenai tahap kecergasannya sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini, Liek Hou menjawab: "Sebelum PKP, berat badan saya di sekitar 73 hingga 75 kilogram.

"Tetapi berat badan saya kini berkurangan kepada 68 atau 69kg.

"Memang saya hendak turunkan berat badan tetapi saya tidak mahu mengurangkan otot kerana ia akan menjejaskan pergerakan saya dalam gelanggang.