Skuad badminton para negara optimis mampu mengulangi kejayaan di laman sendiri tiga tahun lalu dengan meraih sekurang-kurangnya empat pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Filipina dari 20 hingga 28 Mac depan.

Justeru, jurulatih badminton para negara, Khairul Anuar Ismail, menganggap pasukan negara sudah dalam keadaan bersedia.

"Setakat ini, apa yang dirancangkan pihak pengurusan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) berjalan lancar.

"Kami kini dalam fasa ketiga, iatu persiapan akhir untuk menghadapi Sukan Para ASEAN," katanya di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan pagi tadi.

Khairul Anuar menganggap barisan pemain tetap berpeluang meskipun tidak mempunyai reputasi besar.

"Setiap atlet negara berpeluang (untuk menang), bergantung kepada corak permainan masing-masing.

"Kami tidak menilai peluang seseorang atlet itu tipis biarpun dia merupakan atlet 'underdog' kerana setiap mereka memiliki peluang 50-50.

"Pemain yang mengikuti taktikal permainan, mempamerkan disiplin dalam latihan mahupun ketika kejohanan tidak mustahil berpeluang untuk mengharumkan nama negara."



Ikuti perkembangan lanjut dalam Nadi Arena edisi seterusnya

Editor: Shaiful Shamsudin