Diundi dalam kumpulan mudah menjadi naratif pemburuan pingat Sukan Olimpik Tokyo buat perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia selaku pilihan kesembilan diundi dalam Kumpulan M di samping perseorangan Perancis, Brice Leverdez dan wakil Ukraine, Artem Pochtarov, sepanjang temasya pada 23 Julai-8 Ogos ini.

Tatkala juara Seluruh England 2021 itu dijangka berupaya mengetepikan Pochtarov, kelibat Leverdez menjadi kebimbangan berlandaskan asejarah dia yang pernah menewaskannya termasuk Datuk Lee Chong Wei.

"Saya tidak boleh pandang dengan Brice. Saya tewas kepadanya dalam pertemuan terakhir malah dia pernah mengalahkan Datuk Lee Chong Wei beberapa kali.

"Dia seorang pemain berpengalaman. Pemain Eropah mampu melakar kejutan jadi saya akan mengambil serius terhadap perlawanan ini," katanya ketika diwawancara wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, hari ini.

Atlet dari Kedah itu, bagaimanapun, menegaskan seseorang jaguh tidak boleh berdolak-dalik dengan bersandarkan kepada elemen tuah semata-mata jika berhasrat mendaki podium.

Jika segalanya mengikut perancangan, Zii Jia akan mencongak perhitungan dengan juara bertahan, Chen Long, pusingan kedua.

"Kalau mahu jadi pemain handalan, mesti kalahkan lawan yang dihadapi. Tidak kira Chen Long, Jonatan Christie, Kento Momota ataupun Victor Axelsen. (Lambat-laun mesti akan jumpa (berentap juga).

"Kalau setakat harap undian yang bagus, tidak mungkin saya dapat jadi seorang pemain terbaik. Tiada pemain yang guna faktor tuah untuk menjadi 10 pemain teratas dunia mahupun yang terbaik.

"Inilah masanya untuk pamerkan tahap sebenar saya kepada semua orang," katanya.






Bekas tonggak dan jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek, tiada sangsi Zii Jia memiliki peluang seimbang dan memiliki potensi besar asalkan fokusnya tidak terjejas.

"Berdasarkan prestasi semasa -- dia pun pernah kalahkan Chen Long -- jadi daripada situ dia ada kelebihannya. Dia pasti berkeyakinan tinggi dan lebih bersedia untuk mengalahkannya lagi.

"Zii Jia ada peluang untuk menaiki podium. Dia pernah ke atas kesemua bakal pencabarnya kecuali Anthony Ginting (kalah ketiga-tiga pertemuan).

"Harapan untuknya menaiki podium memang cerah.

"Terpulang kepada tahap keyakinan dan persiapannya dalam mengkaji lawannya selain betul-betul fokus terhadap sasarannya," katanya.