Syaqiera Mashayikh menganggap tiket ke Sukan Olimpik Tokyo bulan depan umpama "bulan jatuh ke riba".

Ini kerana pemanah recurve negara itu belum pernah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan atau Sukan Malaysia (Sukma).

Mungkin ramai tidak mengenali pemanah berusia 21 tahun itu, yang baru menyertai skuad kebangsaan tahun lalu dan hanya dua kali mewakili negara.

Bagaimanapun, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memilih atlet kelahiran Segamat, Johor itu untuk mengisi satu slot ke Sukan Olimpik Tokyo selepas pengiraan semula mata kelayakan oleh World Archery.

"Saya terkejut dan tidak percaya kerana saya tidak pernah menjangkakannya," kata Syaqiera kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Saya sedar masih baru dalam skuad kebangsaan dan agak terkilan kerana masih belum pernah mendapat pingat dalam Sukma, jadi ia sememangnya rezeki saya.

"Walaupun perjalanan saya orang tidak nampak dan saya tidak menyerlah, jurulatih sentiasa nampak dan menyokong saya.

"Mungkin rezeki saya berbeza dengan orang lain, jadi ia sememangnya satu anugerah untuk saya untuk ke Sukan Olimpik," katanya.