Perseorangan wanita profesional negara, Soniia Cheah, mula melaporkan diri untuk menjalani kem latihan secara kuarantin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo, 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Soniia -- yang akan membuat penampilan kali pertama dalam temasya berprestij itu -- mempunyai fokus tersendiri untuk berada di tahap prestasi terbaik.

"Saya ke mari kerana mahu lebih fokus dalam latihan -- tanpa sebarang gangguan dengan harapan dapat tingkatkan persembahan.

"Saya mahu fokus kepada latihan di gelanggang. Saya mahu membiasakan diri dengan permainan berikutan tiada kejohanan untuk disertai ketika ini.

"Saya sedang giat berlatih dengan Lim Chi Wing," katanya dalam laporan wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini.




Biarpun gagal menyerlah dalam beberapa kejohanan seperti di Thailand, Terbika Switzerland dan Seluruh England tahun ini, tetapi ia tidak melunturkan semangat juangnya dalam mencipta kejutan.

"Persaingan memang sukar, undian kejohanan juga akan memainkan peranan.

"Saya harap dapat elak pemain utama yang dalam kemuncak prestasi seperti Tai Tzu-ying, Ratchanok Intanon sementara Carolina Marin pula tersisih kerana kecederaan.

"Apa jua boleh berlaku dalam Sukan Olimpik. Saya anggap masih mampu mencipta kejutan."