Perseorangan profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, berkelana ke Republik Ireland berikutan khidmatnya ditagih sebagai rakan pelatih sebagai persiapan fasa akhir negara itu ke Sukan Olimpik Tokyo, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Ia dianggap sebagai pengubat duka memandangkan Iskandar Zulkarnain kempunan untuk bertanding dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Pemain di ranking ke-89 dunia itu berlepas ke Republik Ireland sejak pertengahan bulan lalu selepas menerima pelawaan secara peribadi daripada wakil mereka, Nhat Nguyen, yang bakal penampilan sulung temasya di Jepun kelak.

"Dia menggunakan duit poket sendiri untuk membawa saya ke mari.

"Lagipun Malaysia masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi dalam masa sama saya ambil kesempatan ini sebagai bentuk latihan saya," kata Iskandar Zulkarnain dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Biarpun pemain berusia 30 tahun itu tidak mempunyai sebarang pengalaman beraksi di pentas tertinggi sukan berkenaan, juara kebangsaan 2015 tersebut pernah dipanggil menjadi rakan pelatih buat Datuk Lee Chong Wei sempena Sukan Olimpik Rio 2016.

Justeru, latihan intensif bersama pemain 21 tahun kelahiran Vietnam itu diharap mampu menghasilkan kejutan memandangkan jaguh dalam pembikinan Republik Ireland tersebut diletakkan dalam Kumpulan F di samping pemain Taiwan, Wang Tzu Wei, dan wakil Sri Lanka, Niluka Karunaratne.

"Walaupun tidak ke Sukan Olimpik, saya bangga dapat membantunya.

"Dia peserta paling muda dalam Sukan Olimpik Tokyo kelak. Jadi saya akan tunjukkan pengalaman saya ketika membantu persiapan Chong Wei.

"Banyak yang perlu dipelajarinya," katanya.

Dalam masa yang sama, Iskandar Zulkarnain juga sedang meneroka peluang untuk menjadi jurulatih di Eropah yang menyaksikannya berkemungkinan bakal kembali semula ke sana pada September dalam usaha membantu negara itu menghadapi Kejohanan Dunia pula.