Keadaan darurat berikutan pandemik COVID-19 di Jepun membuatkan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan menjadi persoalan.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan beberapa penaja temasya itu mula memikirkan untuk menarik diri, yang mungkin mencetus kepada pembatalan penganjuran berkenaan.

Bagi mengulas mengenai perkara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, berkata penganjuran temasya berkenaan, yang telah ditunda sejak tahun lalu, amat penting buat atlet negara selepas pengorbanan yang telah mereka lakukan, terutama dalam keadaan serba kekurang sepanjang pandemik global ini.

"Kami telah berhubung dengan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan Jawatankuasa Olimpik Jepun, setakat ini tiada perubahan daripada segi penganjuran Sukan Olimpik," katanya kepada Astro Arena.

"Kita juga perlu melihat daripada perspektif atlet yang bukan sahaja telah bersiap sedia sejak beberapa bulan lalu, bahkan mereka sudah melakukan persediaan sejak Sukan Olimpik Rio 2016, yang sekarang sudah masuk lima tahun.

"Mungkin juga dengan Sukan Olimpik ini kita dapat rasa seperti ia satu kejayaan setelah lebih 15 bulan setiap seorang daripada mereka tersekat dalam pusat latihan dengan keadaan mental yang begitu tertekan.

"Sukan Olimpik akan terlihat seperti ada penghujung buat pengorbanan dan tekanan yang mereka lalui sebelum ini," katanya.