Genap setahun penyertaan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 2004, Flandy Limpele, bersama skuad beregu lelaki negara, kredibilitinya sebagai jurulatih tidak begitu teruji berikutan kekangan penularan COVID-19.

17 hari lagi, jurulatih dari Indonesia itu bakal berdepan cabaran utamanya iaitu memacu Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi pencabar pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 sedangkan beregu muda itu masih kemarau gelaran antarabangsa.

Ia ibarat misi yang sukar kerana sejak berganjak ke kancah senior pada 2018, Aaron-Wooi Yik masih belum berkesempatan menikmati gelaran juara.

Hanya empat kejohanan sahaja disertai mereka tahun ini yang menyaksikan mereka mara ke final Terbuka Thailand Januari lalu, itupun tanpa kehadiran wakil terbaik dunia dari Jepun dan Indonesia.

Biarpun hanya membimbing selama setahun sahaja, Flandy tetap optimis dengan kemampuan anak buahnya itu mencapai keputusan positif dalam penampilan sulung mereka dalam temasya berkenaan.

"Bukan Malaysia sahaja tidak menyertai kejohanan.

"Jadi persiapan semua pemain adalah sama. Saya sudah mempersiapkan mereka, kelemahan mereka sudah diperbaiki.

"Insya-Allah kami boleh berjaya dalam Sukan Olimpik," katanya dalam laporan wartawan, Adam Zamri, di Nadi Arena sebentar tadi.




Flandy juga menafikan bahawa dia berhubung dengan bekas pasangannya, Eng Hian, yang kini bertindak sebagai jurulatih beregu wanita di Indonesia bagi mendapatkan taktik terkini kem Indonesia yang turut giat menjalani persiapan.

"Saya sudah mempersiapkan kekuatan mental dan keyakinan mereka agar dapat mengerah segala kudrat.

"Pasti saya sudah tahu biasa strategi Indonesia kerana lama bersama mereka.

"Saya juga mengamati (tindak tanduk) untuk melawan Indonesia kelak."