Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Han, turut mengesahkan hanya empat jurulatih sahaja yang akan mengiringi skuad badminton negara ke Sukan Olimpik Tokyo yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Mereka terdiri daripada jurulatih perseorangan, Hendrawan, jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele, Chan Choong Ming (jurulatih beregu wanita) dan Chin Ee Hui (jurulatih beregu campuran).

Ini bermakna pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah, tidak akan diiringi sesiapa, namun Choong Han tidak berasakan ia bakal menjadi masalah memandangkan Hendrawan dan dirinya sendiri sedia membantu pemain itu ketika beraksi kelak.

"Kami akan mengendalikan pertandingan Soniia melalui saya sendiri sambil boleh dibantu Hendrawan.

"Kami juga tidak dibenarkan membawa rakan sepelatihnya sebaik melangkah ke perkampungan sukan. Ini satu senario yang semua pemain akan harungi.

"Kami sudah bersiap sedia untuk mengendali situasi ini," katanya ketika ditemu maya dalam Nadi Arena sebentar tadi.

Kontinjen badminton negara dijangka akan berlepas 17 Julai ini.