Pemilihan pakaian renang mampu membantu Leong Mun Yee lebih berkeyakinan untuk menghadapi Sukan Olimpok Tokyo 2020, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Mun Yee akan menyertai acara terjun 10m platform seirama wanita di samping pemenang pingat perak temasya Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong.

Mereka kini giat menjalani fasa akhir latihan berprestasi tinggi di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil itu.

Walaupun prestasi menjadi keutamaannya dalam sukan subjektif ini, atlet kelahiran Perak itu tidak mengabaikan aspek pemakaian ketika beraksi kelak.

"Setiap baju renang ada bahan buatannya (yang tersendiri).

"Ia sebenarnya menjurus kepada acara renang tapi tetap boleh membantu penerjun," katanya yang akan membuat penampilan kali keempat dalam temasya itu di Nadi Weekend sebentar tadi.


A post shared by (Angela) Leong Mun Yee OLY (@leong_munyee)



Baginya, kriteria pemilihan baju renangnya ialah kelihatan cantik dan warna-warni, ia bertujuan menarik perhatian juri.

Begitupun, dia mengakui prestasi ketika hari pertandingan yang akan menjadi sandaran utama.

"Setiap kali saya berpasangan dengan Pandelela (Rinong) dalam acara seirama, saya mesti memakai baju renang kegemaran. Ia seakan membawa tuah buat kami.

"Contoh baju renang yang bagus ialah ia akan kurang serap air. Lebih cepat kering dan tidak perlu lap sangat.

"Yang penting kena selesa untuk memakainya. Tidak ketat terutama ketika melenturkan badan.

"Apapun, saya kena lebih gigih berlatih.

"Pakaian renang hanya bertujuan untuk meningkatkan semangat dan tuah.