Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, menyambut baik tindakan penganjur Sukan Olimpik Tokyo yang bercadang menjalankan ujian COVID-19 pada setiap hari ke atas atlet yang bertanding.

Perkembangan itu dikongsinya menjelang proses suntikan vaksin fasa kedua kepada atlet negara, Isnin depan.

Temasya Tokyo 2020, Julai depan, akan tetap diteruskan walaupun negara Matahari Terbit itu mengumumkan perintah berkurung buat kali ketiga di beberapa wilayah termasuk Tokyo dan Osaka.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Olimpik antarabangsa (IOC) mengadakan pertemuan dengan penganjur.

Langkah ketat akan diambil termasuk menetapkan atlet perlu kekal dalam gelembung sukan sepanjang temasya itu berlangsung.

"Dalam kepayahan ini, tentu ada peluang kalau kita pandai.

"Banyak negara yang mempunyai kes COVID-19 yang tinggi seperti India. Mereka berdepan kesukaran untuk menyertai proses kelayakan.

"Dalam apa jua situasi sekalipun, tentu sahaja peluang akan wujud.

"Jadi kita kena fokus untuk ke Sukan Olimpik Tokyo dalam usaha melakukan sebaik yang boleh untuk membanggakan negara," katanya.

Setakat ini, 12 atlet negara sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Kontinjen Malaysia dijangka dianggotai seramai 30 atlet dengan skuad terjun sedang memburu tiket temasya menerusi Kejohanan Piala Dunia FINA di Tokyo, bermula Sabtu ini.

Terdahulu, MOM menerima kunjung hormat jawatankuasa eksekutif Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

"Liputan kali ini mungkin berbeza dengan temasya yang lain, tetapi paling penting SOP (prosedur operasi standard) perlu dipatuhi dari Malaysia lagi," kata Presiden SAM, Ismadi Abd Manap.