Persoalan siapakah atlet yang bakal bergandingan dengan Goh Liu Ying sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah terjawab apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selesai bermesyuarat hari ini.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menjadi pilihan selepas pemanah, Khairul Anuar Mohamad, terpaksa melepaskan tugasan itu kerana mahu memberi fokus kepada acara berpasukan, sehari selepas upacara pembukaan.

"Saya dapat berita ini ketika sedang makan tengah hari.

"Saya sendiri terkejut, tidak pasti apakah sesuai untuk menggalas tanggungjawab ini sebab berpendapat ada abang dan kakak lain (atlet senior) yang lebih berpengalaman.

"Saya perlu berterima kasih kepada MOM dan MSN kerana memberikan kepercayaan tinggi kepada saya.

"Peranan ini bukan senang. Saya rasa ini tanggungjawab yang besar.

"Tapi ini tidak akan jadi satu tekanan dalam Sukan Olimpik, malah menambah keyakinan dan semangat saya untuk menghadapi temasya ini yang akan saya sertai buat pertama kalinya.

"Saya harap dengan keyakinan ini, saya mampu menjelmakan keputusan yang baik," kata pemain dari Kedah itu.

Pada masa sama, Tan Sri Norza Zakaria, turut menamakan individu yang bakal berperanan selaku chef-de-mission di Jepun dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan berikutan Datuk Lee Chong Wei tidak dapat ke sana akibat faktor kesihatan.




MOM mengesahkan bekas jaguh dunia badminton itu akan kekal sebagai CDM kontinjen negara sambil menjelaskan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, akan berlepas ke Tokyo di samping atlet bagi membantu urusan operasi.

"Semalam Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, telah mengumumkan bahawa Chong Wei kekal sebagai CDM.

"Kami telah berbincang dengan Chong Wei sendiri.

"Namun, atas nasihat doktor, Chong Wei akan memantau atlet secara maya sementara gerak kerja di Tokyo akan dikendalikan oleh Nazifuddin," katanya.