Datuk Lee Chong Wei bersara dengan meninggalkan himpunan kejayaan unik, termasuk memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik sehingga menjadi pencapaian yang sukar diteruskan mana-mana perseorangan lelaki negara, bermula dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Itu pandangan bekas jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Rashid Sidek, yang berada di samping Chong Wei dalam edisi 2012 di London, England.

Hatrik penampilan final Chong Wei dalam Sukan Olimpik bermula dalam temasya Beijing 2008 sebelum disempurnakan di Rio, tiga tahun lalu.

Rashid yang memenangi gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996, berpandangan bahawa perseorangan lelaki negara seperti Lee Zii Jia tidak mempunyai masalah untuk layak ke Tokyo tetapi berdepan cabaran luar biasa untuk membawa pulang pingat.

Ini merujuk kepada kemarau yang melanda skuad perseorangan lelaki untuk layak di antara edisi Atlanta 1996 dan Athens 2004.

"Malaysia bergantung kepada nasib untuk meraih pingat dalam Sukan Olimpik 2020 (dalam acara perseorangan lelaki)

"Seperti yang kita tahu, rata-rata pemain negara ketika ini terdiri daripada pemain muda.

"Mereka boleh menghadirkan cabaran dan mencipta keputusan mengejut tetapi untuk konsisten dan memenangi pingat, itu amat sukar, namun tidak mustahil," katanya.

Sementara itu, Rashid menegaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak lagi boleh berselindung di sebalik kelemahan dengan ketiadaan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Situasi berkenaan memaksa badan induk itu untuk akhirnya memanfaatkan bakat muda yang mereka ada.

"Ia satu situasi yang lebih bagus (untuk kem negara). Dengan ketiadaan Chong Wei, bolehlah BAM fokus kepada pemain muda dan pelapis.

"Mereka lebih berpeluang menyertai kejohanan bagi tujuan pendedahan untuk meningkatkan persembahan dan mencari pengalaman," katanya.