Belum pun saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, jelas menidakkan kemampuan barisan pemain negara untuk tampil cemerlang dalam saingan itu nanti.

Frost yang kini bertindak sebagai pengulas badminton dunia mengakui masih aktif mengikuti perkembangan skuad kebangsaan meskipun sudah dua tahun meninggalkan BAM.

Berdasarkan pemerhatian dan analisis semasa keadaan pemain negara, katanya, ia pasti situasi sukar untuk Malaysia mengulangi pencapaian dalam temasya Olimpik Rio 2016, apatah lagi Malaysia memasang impian untuk meraih emas di Tokyo nanti.

Namun, dengan berbaki 18 bulan, Malaysia perlu lebih sekadar keajaiban memandangkan kini ramai pemain harapan sudah meninggalkan BAM dan jika pun mereka mampu layak, kemampuan pemain negara masih jauh ketinggalan dengan negara lain.

"(Perkembangan badminton Malaysia) tidak kelihatan baik. Saya fikir orang lain juga beranggapan begitu.

"Bagaimanapun, apa juga boleh berlaku dalam tempoh 18 bulan.

"Malaysia telah membuktikannya dalam Sukan Olimpik Rio dengan mengadakan persiapan rapi.

"Malaysia mengharungi kempen yang cemerlang di Rio.

"Pada masa ini, situasi Malaysia kelihatan agak sukar tetapi mungkin pada awal 2020, pemain Malaysia mula mempamerkan prestasi yang berbeza," kata Frost.