Skuad pingpong wanita Malaysia menjamin setidak-tidaknya pingat perak dalam Sukan Komanwel Birmingham selepas mengatasi Wales, sebentar tadi.

Pasukan negara yang terdiri daripada Karen Lyne, Alice Chang Li Sian dan Ho Ying itu terlebih dahulu mengejutkan juara bertahan, India, sebelum meneruskan rentak mengagumkan mereka dengan kemenangan 3-2 dalam pertemuan separuh akhir di Pusat Pameran Nasional berkenaan.

Dengan kejayaan mara ke final, kontinjen pingpong Malaysia memastikan pencapaian pingat dalam temasya itu buat kali keempat berturut-turut.




Pasukan wanita sebelum ini memenangi gangsa pada 2010 dan perak pada 2014, manakala Ho Ying-Karen berganding bahu untuk mengutip gangsa menerusi beregu wanita di Gold Coast, empat tahun lalu.

Mereka akan berhitung dengan pasukan pilihan, Singapura, yang menewaskan Australia 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Singapura memenangi empat daripada lima edisi terakhir selain memungut lebih banyak emas dalam kancah ini berbanding mana-mana pencabar Sukan Komanwel yang lain.