Empat hari menjelang Sukan Komanwel Birmingham, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, yang menjadi pilihan utama menganggap ranking hanya nombor semata-mata selain beranggapan semua peserta memiliki peluang sama rata.

"Matlamat utama kami adalah sentiasa memberikan yang terbaik, tumpu satu persatu perlawanan.

"Banyak negara mempunyai ramai yang bagus dan tekal.

"Kami tidak akan menamakan mana-mana negara tapi akan membuat persediaan rapi untuk berdepan mereka, " kata Thinaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sementara itu, perseorangan kedua wanita, Goh Jin Wei, yang baru pulang selepas terkandas tewas di peringkat suku akhir Kejohanan Terbuka Taiwan menganggap kecergasannya di tahap terbaik.

"Sangat penat sebab perlawanan baru habis semalam.

"Ini penyertaan pertama saya tapi dengan sokongan kontinjen Malaysia, saya rasa bertenaga.

"Masih ada beberapa hari untuk saya mendapatkan rehat dan pada masa itu saya akan berada di tahap terbaik," katanya.