MALAYSIA 3 INDIA 1

Malaysia menewaskan India 3-1 untuk memenangi pingat emas badminton berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham, sebentar tadi, empat tahun selepas tewas kepada pencabar sama di Gold Coast.


Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan Malaysia memulakan rentak dengan langkah kanan dalam perhitungan di Pusat Pameran Nasional itu apabila mengetepikan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-15.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu berdepan rintangan getir untuk memadamkan prestasi buruk kebelakangan ini, lebih-lebih lagi Rankireddy-Shetty mampu menghukum sesiapa sahaja ketika di puncak prestasi.

Pertarungan mereka berlangsung sengit terutama dalam set pertama dengan kedua-dua beregu lelaki itu saling berbalas mata.

India memiliki kelebihan 18-15 tetapi Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat waja untuk mendapatkan enam mata lagi bagi mengesahkan set pertama menjadi milik mereka.

Percaturan Wooi Yik yang mengawasi jaring merupakan satu tindakan yang bijak yang menyaksikan pemain bertubuh lampai itu mampu membunuh beberapa rali untuk mengesahkan kemenangan dengan straight.





Kemudian Goh Jin Wei pula gigih menentang bekas juara perseorangan wanita dunia, P. V. Sindhu, yang sedang dalam prestasi terbaik tetapi walaupun memberi cabaran hebat, dia tunduk 22-20, 21-17.

India dijangka memimpin perlawanan ini menerusi pertarungan S. Kidambi dengan Ng Tze Yong, perseorangan lelaki Malaysia itu sebaliknya menjerit puas sebaik bulu tangkis lawannya terkeluar garisan tepi untuk kejayaan terbesar dalam kariernya apabila meraih kemenangan 21-19, 6-21, 21-16.

Hanya memerlukan satu mata lagi untuk mengesahkan emas, Pearly Tan-M. Thinaah, menafikan hasrat Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela apabila mencatat kemenangan dalam aksi dua set 21-17, 21-18.

Kejayaan di Birmingham itu merupakan emas keempat Malaysia dalam acara berpasukan campuran Sukan Komanwel selepas memenanginya dari 2006 hingga 2014.