MALAYSIA 5 AFRIKA SELATAN 0

Malaysia menamatkan kempen peringkat kumpulan berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham dengan rekod sempurna selepas menewaskan Afrika Selatan 5-0, tengah malam tadi.


Skuad badminton negara terdiri daripada beberapa gabungan bidan terjun yang menyaksikan Aaron Chia turun di samping Pearly Tan dalam beregu campuran.

Mereka tidak mempunyai masalah untuk menghadiahkan mata pertama negara dengan kemenangan 21-7, 21-8 ke atas Jareed Elliot-Deidre Jordaan.

Ng Tze Yong, satu-satunya pemain perseorangan lelaki dalam pasukan, menjadikan kedudukan 2-0 dengan kemenangan 21-11, 21-8 ke atas Caden Kakora.

Goh Jin Wei kemudian melebakarkan kedudukan kepada 3-0 apabila mudah menjinakkan Johanita Scholtz 21-5, 21-4 dalam perseorangan wanita.

Rentak itu disusuli Chan Peng Soon-Tan Kian Meng yang mencipta kemenangan 21-6, 21-9 ke atas Elliot-Robert Summers dalam beregu lelaki sebelum Cheah Yee See-Lai Pei Jing melengkapkan kemenangan ke atas pasukan kerdil itu apabila menumbangkan Scholtz-Jordaan 21-18, 21-13 dalam beregu wanita.

Malaysia juga menewaskan Jamaica 5-0 sehari sebelum itu bagi menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan D.

Sehubungan itu, skuad kebangsaan menempah pertemuan dengan naib juara Kumpulan A, Sri Lanka, dalam suku akhir malam ini.