Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tiada masalah menundukkan beregu kembar Scotland, Christopher dan Matthew Grimley bagi meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Sukan Komanwel Birmingham.

Di set pertama pusingan 16 itu, kedua-dua pasangan memberi saingan yang sengit, saling mengejar mata -- selepas beregu Malaysia berada di depan dengan 18 mata, beregu Scotland itu berjaya menyamakan kedudukan.

Namun, Aaron-Wooi Yik lebih gah untuk menamatkan set pertama 21-19.

Berbekal dengan pengalaman, Aaron-Wooi Yik tiada masalah tundukkan kembar Grimley di set kedua dengan keputusan 21-16, sekaligus menempah slot ke suku akhir untuk bertemu gandingan Uganda, Bryan Kasirye-Daniel Wanagaliya.

Keputusan lain dari kem badminton negara menyaksikan Ng Tze Yong, tiada masalah mara ke pusingan suku akhir selepas menunduk Ajfan Rasheed dari Maldives. Tapi lepas ini dia perlu berentap dengan juara dunia 2021 dan wakil dari Singapura, Loh Kean Yew.

Bagi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, akan berdepan lawan Singapura di suku akhir, Crystal Wong-Jin Yujia.