Kalau ada yang lebih terkejut dengan pemilihan Cheam June Wei sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei dalam Sukan Asia Indonesia 2018, individu itu adalah dia sendiri yang kini berdepan keperluan untuk berada di kemuncak prestasi dalam tempoh singkat.

Pemilihannya disifatkan sebagai satu kejutan memandangkan pemain berusia 21 tahun itu mengetepikan pemain perseorangan lelaki senior negara seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lim Chi Wing, bagaimanapun harus ditekankan bahawa Iskandar kini dalam prestasi tidak cergas sementara Chi Wing mengalami prestasi tidak menentu.

"Dari awal lagi, saya sudah dimaklumkan tidak akan menyertai Sukan Asia, oleh itu saya tidak fikir banyak dan hanya meneruskan latihan seperti biasa.

"Sebaik dimaklumkan penyertaan saya semalam, saya berasa teruja dan terkejut sebab dari awal-awal lagi nama saya tidak tersenarai.

"Jadi, apabila tersenarai pada saat-saat akhir, saya berasa gembira," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Jun Wei akan mengiringi Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao bagi mengibarkan cabaran perseorangan lelaki temasya Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September ini.