"Iskandar Zulkarnain Zainuddin boleh lupakan Sukan Asia," demikian pengesahan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, selepas Jawatankuasa Eksekutif BAM memutuskan untuk menggugurkan pemain itu daripada temasya berkenaan.

Iskandar sebelum ini didenda oleh badan badaminton negara itu selepas merokok ketika kempen Piala Thomas di Bangkok, bulan lalu.

Selain itu, elaun pemain berkenaan juga dipotong sebanyak 50 peratus untuk sebulan di samping perlu menjalani ujian nikotin setiap tiga bulan.

Ekoran perkara itu, Jawatankuasa Eksekutif BAM bersetuju menerima saranan ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, supaya tempat Iskandar dalam Sukan Asia digantikan oleh Soong Joo Ven.

"Apabila dia merokok hari itu, kami sudah bagi penalti kepadanya. Dia tiada dalam latihan selepas balik daripada bercuti.

"Jadi, Misbun memutuskan untuk menggantikannya (dalam Sukan Asia). Kami menghormati keputusan Misbun," kata Norza.

Dalam pada itu, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif BAM juga bersetuju menerima cadangan Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) supaya atlet wanita di bawah kategori B tidak dihantar ke Sukan Asia.

Sebelum ini, Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying, S. Kisona dan gandingan beregu wanita dicadangkan dalam rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk beraksi di bawah kategori B.

"Kami sebenarnya bersetuju dengan keputusan dibuat oleh C&T untuk tidak menghantar mereka. pemain wanita yang disenaraikan dalam kategori B untuk Sukan Asia," kata Misbun lagi.