Atlet berbasikal trek kebangsaan, Azizulhasni Awang, akan mengetuai misi skuad negara untuk menamatkan kemarau pingat emas selama lapan tahun dalam Sukan Asia apabila turun selaku pencabar utama acara keirin dan pecut dalam saingan di Indonesia, bulan depan.

"Penampilan di Indonesia adalah pentas ketiga saya dalam Sukan Asia dan kali ini, fokus saya terarah untuk membawa pulang pingat emas dalam kedua-dua acara individu. Malaysia juga memiliki skuad yang kuat, membuatkan kami menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan, sekali gus berada di podium," katanya.

Azizulhasni merupakan pelumba paling senior skuad trek apabila bakal melakukan penampilan ketiga dalam Sukan Asia.

Prestasinya akan mempengaruhi pelumba muda kebangsaan seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Farina Shawati Mohd Adnan yang akan melakukan penampilan sulung.

Skuad trek negara akan berlepas seminggu awal ke Jakarta untuk menguji Velodrom Antarabangsa Jakarta yang baru siap dibina, bulan lalu.

"Saya fokus untuk acara pecut dan keirin. Keirin lebih menjadi perhatian tetapi dalam perlumbaan, apa sahaja boleh berlaku. Ia pasti sukar," kata Shah Firdaus.

"Saya cuba bermula, mendapatkan sedikit pengalaman. Apabila tanpa Fatehah (Mustapa yang tidak terpilih)), saya belajar untuk menyesuaikan diri. Selepas ini, saya akan menyambung laluannya, jadi saya perlu berusaha," tambah Farina.

Dalam masa sama, tugas lebih sukar tampak menanti skuad lebuh raya.

Seramai empat pelumba dipilih dan mereka hanya sempat menjalani kem latihan pusat selama dua hari sebelum berlepas ke Jakarta.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara lebuh raya adalah menerusi Datuk Ng Joo Ngan dalam temasya di Bangkok, Thailand, 48 tahun lalu.

"Jika untuk mendapatkan pingat, macam-macam boleh jadi. Kadangkala adalah masalah teknikal, sukar untuk disahkan. Kami akan cuba yang terbaik," ujar pelumba lebuh raya negara, Mohamad Azwan Zulkiflie.