Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou, mengidamkan untuk mencapai status nombor satu dunia dalam kategori SU 5 bagi memudahkan undian menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos depan.

Liek Hou kini dalam keadaan terbaik untuk merampas posisi itu daripada pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi, berdasarkan pencapaiannya dalam dua kejohanan sebelum ini.

Menjuarai Terbuka Brazil dan Terbuka Peru dalam tempoh dua minggu berturut-turut menyaksikan dia yang kini berada dalam kedudukan kedua dunia mengutip 4770 mata sambil Dheva unggul mengatasinya dengan 5420 mata.

Biarpun dia tampak hampir pasti melayakkan diri buat kali pertama di pentas Sukan Paralimpik, Liek Hou mahu memastikan undian dalam temasya itu memihak dirinya dengan mudah sekali gus penting untuknya berada di posisi tertinggi.

"Saya tak jangka boleh menang di sana. Kebetulan, prestasi saya ketika itu sangat baik, ditambah dengan strategi jurulatih yang menjadi. Mata kemenangan diraih dengan pukulan yang betul," katanya.

Setakat ini, tumpuan Liek Hou terarah kepada acara perseorangan lelaki sahaja dan masih belum membuat keputusan sama ada akan turut bersaing dalam acara beregu lelaki untuk temasya Parallimpik Tokyo.

"Ini salah satu pengajaran buat saya. Tidak boleh pandang rendah atau terlalu yakin dalam setiap pertandingan. Saya harus sentiasa bersedia untuk berdepan wakil negara lain dan bukan Indonesia sahaja."