Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak peduli kehilangan status sebagai pemain no. 1 dunia, sebaliknya menegaskan prestasi baik di atas gelanggang dan juga menjulang kejuaraan lebih menjadi keutamaannya.

Ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan Chong Wei jatuh ke tangga ketiga di bawah bintang Denmark, Viktor Axelsen.

Buat kali kedua dalam tempoh tiga minggu, perseorangan Korea Selatan, Son Wan Ho, gah dengan status pemain terbaik dunia.

Chong Wei yang tenang dengan perkembangan ini turut menjangkakan kedudukan ranking dunia akan terus berubah menuju ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

"Ranking naik turun adalah perkara normal tetapi selepas Terbuka Indonesia, ranking akan sekali lagi berubah.

"Saya juga mengurangkan kejohanan kepada lapan sahaja," jelas Chong Wei.

Misi terdekat pemain berusia 34 tahun itu adalah untuk mempertahankan Kejuaraan Siri Super Terbuka Indonesia dengan Chen Long dijangka menjadi halangan utama.

Chong Wei juga berupaya mencipta sejarah muncul pemain badminton paling banyak melakar kejuaraan perseorangan lelaki sepanjang zaman andai unggul di Jakarta.

"Sama ada berdepan dia (Chen Long) di peringkat suku akhir, separuh akhir mahupun final, saya akan tetap mempersiapkan diri saya sebaik mungkin.

"Saya harap dapat merangkul kejuaraan buat kali ketujuh di Jakarta.

"Selepas itu, saya akan ke Terbuka Australia, dan dua kejohanan ini adalah persiapan terakhir saya sebelum ke Glasgow," tambahnya.