Skuad beregu campuran negara menyasarkan pencapaian besar pada 2018 dengan tumpuan kepada saingan Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Goh Liu Ying yang sedang menjalani pemulihan susulan pembedahan bahu di Halle, Jerman kekal dalam perancangan penting skuad ini.

Dia difahamkan akan pulang ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi dan akan meneruskan proses pemulihan sepanjang tahun ini.

"Liu Ying masih menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan," kata jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.

Status gandingan Liu Ying dan Chan Peng Soon akan dibincangkan sekembalinya dia nanti bagi menentukan hala tuju skuad ini bagi baki 2017 dan 2018.

Ini turut mengambil kira prestasi Peng Soon bersama pemain muda yang sedang dibimbingnya, Cheah Yee See dan Peck Yen Wei, di pentas antarabangsa.

"Kami akan menerima maklum balas daripada Peng Soon selepas menghadapi beberapa perlawanan. Buat masa ini, kami mahu memastikan prestasi Peng Soon berada di tahap terbaik," kata Cheh Pang.

Skuad beregu campuran juga tidak mahu ketinggalan daripada menyumbang kejayaan pada 2018.

Jika perseorangan dan beregu lelaki ada misi merampas Piala Thomas, beregu campuran pula memandang kepada pingat emas dalam sukan temasya.

"Setiap pemain memiliki sasaran mahu meraih lebih banyak kejayaan di masa akan datang dan tugas kami adalah cuba membantu mereka meraih sasaran tersebut," jelasnya.