Kemenangan 13-8 Puchong United BC ke atas Bandar Maharani BC di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi, menyaksikan persaingan kelompok atasan SS Purple League (SSPL) musim ini semakin sengit.

Puchong United kini berada di kedudukan teratas dengan 71 set kemenangan selepas enam perlawanan.

Ia diikuti Petaling BC dengan 60 set kemenangan dan Ampang Jaya BC di tangga ketiga dengan 55 set kemenangan.

Dengan berbaki satu atau dua perlawanan bagi melengkapkan peringkat pertama SSPL musim ini, dua pasukan teratas akan layak secara automatik ke pusingan akhir SSPL di Resorts World, Genting.

Dalam perlawanan di Gem In Mall hari ini, Puchong United memperoleh kemenangan pertama menerusi perseorangan lelaki, Lee Cheuk Yiu, yang menewaskan Lim Chong King 3-1 (8-11, 11-7, 11-7, 11-8).

Puchong United meneruskan penguasaan itu dalam acara perseorangan wanita selepas Ho Yen Mei mengatasi cabaran sengit Yap Yee 3-2 (11-3, 9-11, 11-2, 7-11, 11-2) untuk Puchong United mendahului kedudukan keseluruhan 6-3.

Aksi mantap itu berlarutan ke acara beregu lelaki.

Gandingan Puchong United, Ong Yew Sin-Tan Boon Heong, terus memberikan mata penuh buat pasukan itu menerusi kemenangan 3-0 (11-7, 11-4, 11-7) ke atas Wong Tien Ci-Yap Roy King, sekali gus menjarakkan kedudukan kepada 9-3.

Lim Khim Wah-Ng Tsz Yau turut mengutip kemenangan buat Puchong United dalam acara beregu campuran.

Pasangan itu menewaskan Mohd Razlan Shah-Yap Rui Chen 3-2 (11-8, 11-6, 9-11, 6-11, 11-10) untuk mengubah kedudukan keseluruhan kepada 12-5.

Bagaimanapun, percaturan Puchong United untuk menurunkan pemain bidan terjun, Tan Kian Meng, dalam satu lagi acara perseorangan lelaki memakan diri selepas pemain itu tewas kepada Ng Jun Yan 1-3 (11-5, 8-11, 9-11, 9-11).

Pengurus Puchong United, Irina Inozemtseva, berkata selepas perlawanan: "Semua menyedari perseorangan lelaki kami, Goh Giap Chin, sedang mengalami demam.

"Saya tiada pilihan lain dan terpaksa menurunkan Kian Meng dalam acara perseorangan lelaki.

“Peluang kami untuk mengekalkan kedudukan adalah dalam perlawanan terakhir menentang Petaling BC.

"Pertarungan itu bakal menjadi drama paling menarik dalam SSPL musim ini kerana kedua-dua pasukan perlukan kemenangan,” ujarnya.

Jadual SSPL esok
4:00 ptg: Petaling BC lwn Serdang BC
8:00 mlm: Kepong BC lwn Tebrau City BC