Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya dan Puchong United BC menjadi pasukan terawal mara ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 setelah mereka menduduki dua tangga teratas saingan peringkat pertama liga ini.

Ampang Jaya BC mara selaku juara peringkat pertama SSPL manakala Puchong United BC pula layak selaku naib juara selepas seri 10-10 ketika menentang Petaling BC dalam perlawanan sengit di Gem In Mall, semalam.

Puchong United BC memulakan perlawanan dengan kekalahan dalam acara perseorangan lelaki apabila Alfred Lau Yu Leong yang kali pertama turun beraksi tidak mampu menandingi lawannya daripada Petaling BC, Chong Yee Han. Alfred tewas 1-3 (11-7, 1-11, 5-11, 2-11).

Pemain perseorangan wanita Puchong United BC, Ho Yen Mei, berjaya meletakkan pasukannya kembali di atas landasan kemenangan apabila dia mengatasi pemain Petaling BC, Gabriela Meilani Moningka, 3-1 (11-9, 11-10, 7-11, 11-9). Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 4-4.

Gandingan Tan Boon Heong-Tan Kian Meng terus memantapkan lagi kedudukan Puchong United BC dalam beregu lelaki apabila mengatasi pasangan Petaling BC, Man Wei Chong-Shia Chun Kang, 3-0 (11-9, 11-4, 11-7) untuk mendahului 7-4.

Puchong United sekali lagi tewas dalam acara beregu campuran. Gandingan Goh Liu Ying-Tang Chun Man bersaing sengit sebelum terpaksa akur tewas tipis 2-3 (8-11, 11-8, 11-8, 10-11, 7-8) kepada Terry Hee Yong Kai-Lai Pei Jing. Keputusan itu memberikan ruang kepada Petaling BC untuk kembali merapatkan jurang kepada 9-7.

Perlawanan terus sengit apabila Puchong United BC sekali lagi menerima saingan hebat daripada Petaling BC. Lee Cheuk Yiu yang mewakili Puchong United BC berhempas-pulas sebelum tewas kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin 1-3 (10-11, 11-6, 9-11, 7-10), namun kedudukan keseluruhan terikat seri 10-10 untuk membolehkan Puchong United turut mara selaku naib juara.

Pengurus Puchong United BC, Irina Inozemtseva berkata, “Kami adalah juara bertahan dan kami menerima tentangan sengit daripada semua pasukan lawan.

"Apapun saya gembira kerana pemain mempamerkan permainan konsisten dari permulaan liga. Daripada pemain muda hinggalah pemain ranking atasan dunia yang dibawa masuk, semuanya beraksi dengan baik.

“Layak secara automatik ke pusingan akhir bermakna sudah berada di peringkat separuh akhir. Namun, bukan mudah kerana semua pasukan sudah faham permainan pasukan masing-masing dan cuaca Genting Highlands juga perlu diambil kira. Kami akan menyusun strategi untuk menghadapi lawan di peringkat kalah mati nanti,” kata Irina.

Selepas ini, pasukan di kedudukan ketiga hingga kelapan liga bakal bersaing untuk merebut baki empat lagi slot di peringkat kedua.

Kutipan set kemenangan di peringkat kedua akan ditambah dengan jumlah set kemenangan di peringkat pertama. Daripada itu, empat pasukan di ranking ketiga hingga keenam akan mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi dalam pusingan akhir SSPL.