Soniia gembira kembali ke gelanggang latihan

Ammar Hakim
Mei 27, 2022 09:05 MYT
'Saya berasa seperti di rumah', itu kata-kata pemain perseorangan profesional negara, Soniia Cheah yang kembali berlatih secara kompetitif bersama pemain-pemain negara dan antarabangsa seperti Goh Jin Wei, Soong Joo Ven, Chou Tien Chen dan Zhang Bei Wen.
Setelah sekian lama rehat akibat kecederaan, Soniia berkongsi mengenai latihannya serta sasarannya untuk kembali beraksi pada kejohanan dunia yang bakal berlangsung Ogos depan.
"Saya berasakan sudah kembali pulang ke rumah, sangat gembira kerana dapat berlatih di gelanggang buat pertama kali sejak saingan Sukan Olimpik Tokyo," kata Soniia menerusi Nadi Arena.
Itu perkongsian Soniia selepas dilihat kembali berlatih dengan intensiti yang tinggi selepas keputusannya untuk rehat sementara apabila tamat Sukan Olimpik Tokyo.
Sebelum ini kejohanan terakhir Soniia adalah pada Sukan Olimpik Tokyo di mana Soniia mempamerkan aksi yang memberangsangkan sebelum tewas kepada bekas juara dunia, Ratchanok Intanon 21-19,18-21,10-21.
"Saya baru sahaja pulih daripada kecederaan dan memulakan latihan sejak minggu lalu, ketika ini saya dalam usaha untuk meningkatkan semula rentak permainan."
Soniia optimis dengan keputusan untuk rehat terlebih dahulu berbanding melakukan pembedahan serta yakin mampu mempamerkan aksi yang memberangsangkan pada Kejohanan Dunia Ogos depan.