Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, bakal menempuhi jadual paling padat dalam kariernya dalam misi serampang dua mata untuk bukan sahaja merintis penampilan sulung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, malah turut bersiap menjadi sandaran emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Ia bakal menjadi dua bulan yang padat buat Soniia apabila bakal menyertai sekurang-kurangnya enam kejohanan untuk dia terus mengejar mata bagi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Apatah lagi saingan yang amat penting menantinya di penghujung November, iaitu Sukan SEA Filipina 2019, dengan Soniia perlu bersiap siaga menjadi sandaran utama seandainya pemenang pingat emas 2017, Goh Jin Wei, masih belum cergas sepenuhnya.

Ini bermakna selain tumpuan kepada mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik untuk setiap kejohanan disertai, dia juga perlu menjaga keadaan dirinya agar tidak terdedah dengan sebarang kecederaan.

"Sukan Olimpik penting, Sukan SEA juga penting. Saya akan cuba sebaik mungkin membuat persiapan menghadapi kedua-dua kejohanan," katanya.

Kejohanan terakhir yang akan disertai Soniia merupakan Terbuka Hong Kong yang akan berakhir 17 November depan, justeru menyaksikan dia mempunyai tempoh rehat singkat sebelum berentap dalam Sukan SEA pula.

"Saya berharap Jin Wei dapat kembali secepat mungkin untuk beraksi. Kami mungkin akan terkesan dalam saingan berpasukan dalam ketiadaannya."