Skuad Badminton Malaysia bersedia menghadapi sebarang perubahan istem pemarkahan aksi kompetitif yang akan ditentukan dalam Mesyuarat Agung Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bulan depan.

Sebelum mengesahkan jawapan sama ada akan menyokong cadangan itu, yang dikemukakan Persatuan Badminton Indonesia dan Persatuan Badminton Maldives, atau tidak, skuad kebangsaan akan menguji dahulu keberkesanan sistem 11 mata dalam aksi lima set berkenaan.

Individu paling arif untuk berbicara mengenai sistem mata itu sudah pasti Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Ini kerana bekas pemain nombor satu dunia itu pernah beraksi dalam ketiga-tiga format permarkahan yang pernah diperkenalkan BWF daripada sistem tradisional 15 mata, fasa eksperimen tujuh mata dalam lima set sehingga yang terkini 21 mata.

Jelas Choong Hann, sistem 11 mata itu akan menjadi gabungan dua sistem pemarkahan terdahulu.

"Bagi saya, sistem pemarkahan 21 mata dalam tiga set merupakan sistem yang paling menarik," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya pernah beraksi dalam sistem tujuh mata dalam lima set ketika mereka (BWF) melakukan ujian selama setahun. Ia sememangnya satu perlawanan yang amat getir dan mempunyai rentak yang pantas.

"Tetapi saya rasa sistem 11 mata dalam lima set ini mempunyai faktor yang menarik juga.

"Kerana ia seperti gabungan di antara sistem tujuh mata dalam lima set dan 21 mata dalam tiga set," katanya.

Buat Malaysia, pendekatan terbaik pada waktu ini adalah untuk menguji keberkesanan sistem permarkahan itu dan cabaran yang akan dihadapi untuk menstruktur semula program latihan jika cadangan perubahan itu mendapat sokongan majoriti ahli gabungan BWF.

"Kami akan melakukan sedikit penilaian dan akan mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan untuk membuat pertimbangan.

"Ia merupakan salah satu pendekatan kami untuk pemain mencubanya sebelum mengambil pendirian sama ada mahu menyokongnya atau tidak,"tambahnya.