Mengejutkan, pemain beregu campuran negara, Shevon Lai Jemie, mendedahkan dia langsung tidak diberi sebarang indikasi bahawa prestasi dalam saingan Sirkit Asia bakal membawa padah buat dirinya dan Goh Soon Huat, biarpun berjaya layak ke separuh akhir saingan akhir Jelajah Dunia BWF.

Lebih memeranjatkan, mereka dibuang hanya lima bulan menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2021

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan lima pemain termasuk pemain berusia 28 tahun itu bersama pasangannya, Soon Huat.

Penyingkiran itu memberi kesan buat Shevon dalam merebut slot ke Sukan Olimpik buat kali pertama sepanjang kariernya.

Peluang untuk layak juga mungkin akan tertutup seandainya Shevon dan Soon Huat gagal mendapatkan tajaan ke saingan Sirkit Eropah diikuti baki kejohanan kelayakan Sukan Olimpik yang lain.

Ketika ini, Shevon-Soon Huat yang kini di ranking ke-11 untuk ke Tokyo perlu menyertai saingan kelayakan sebanyak mungkin untuk merebut mata bagi memastikan mereka berada dalam kedudukan lapan terbaik selepas Goh Liu Ying-Chan Peng Soon.

"Kami tidak diberikan sebarang maklumat mengenai prestasi dalam saingan sebelum ini menjejaskan kedudukan hingga digugurkan daripada saingan. Hampir 10 bulan tanpa sebarang kejohanan dan ini merupakan peluang untuk kami mendapatkan peluang untuk mendapatkan rentak," kata Shevon.

"Kami akan mengikut barisan pemain profesional untuk meneruskan persiapan. Kami akan kekal di BAM hingga keputusan rasmi dikeluarkan.

"Kami masih dalam persaingan untuk mendapatkan tempat dalam Sukan Olimpik. Kami akan cuba menyertai kejohanan sebanyak mungkin dan masalahnya adalah tajaan untuk kami menyertai saingan dan jika tidak dapat tajaan, memang tiada peluang untuk kami beraksi."