Jika dahulu dijadikan sumber inspirasi, siapa sangka pada 2021 di pentas utama liga Nepal, Liga Perdana Everest, bakal menemukan pemain kriket negara, Sharvin Muniandy, dengan idolanya yang merupakan legenda Sri Lanka, Upul Tharanga.

Pemain di posisi 'all rounder' berusia 26 tahun itu muncul pemain kriket kedua negara selepas Virandeep Singh untuk memeriahkan liga utama Nepal menerusi perjanjian menyertai pasukan gergasi, Bhairahawa Gladiators.

Sebelum terbang ke Nepal malam ini, Sharvin sempat berkongsi keterujaannya mengenai peluang digandingkan dengan bintang itu.

"Saya selalu tengok perlawanan antarabangsa, terutama membabitkan aksi Sri Lanka dan India.

"Dari situ saya banyak belajar tentang perkara positif seperti bagaimana mereka bermain, mengawal situasi dan meraih keputusan baik kerana bukan senang untuk melaksanakan permainan yang bagus.

"Upul Tharanga merupakan salah seorang pemukul terbaik Sri Lanka.

"Walaupun dia adalah kidal dan saya pula merupakan pemukul dengan tangan kanan, tapi saya suka dengan cara pemukulnya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Menurutnya lagi: "Dia adalah idola saya jadi saya sangat teruja.

"Saya tidak sabar untuk bertanyakan pengalaman, pukulan, caranya mengawal perlawanan dan situasi tekanan. Banyak saya hendak bertanyakan kepadanya.

"Dia antara pemain terbaik bagi saya."