Kesemua individu yang terlibat dengan kem latihan pusat di bawah program Road to Tokyo (RTT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disahkan negatif Covid-19.

Keputusan ujian swab itu disahkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menerusi satu kenyataan hari ini.

Seramai 38 individu melibatkan atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan dan pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan telah menyertai kem latihan di ABM, Bukit Kiara sejak semalam.

Sementara itu, keputusan ujian melibatkan 24 orang, yang terdiri daripada atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan untuk kem latihan di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi dijangka akan diketahui esok.

Kesemua peserta kem latihan pusat di ABM dan Langkawi telah menjalani ujian saringan ketika pendaftaran di kem masing-masing dengan atlet elit bakal menjalani latihan khas dan menjalani pengasingan selama sebulan sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Seramai 146 individu, termasuk 14 atlet dan 26 atlet para, dijangka memulakan latihan di MSN, Bukit Jalil, Isnin depan.

-- BERNAMA