Kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 cukup untuk membuatkan mana-mana jurulatih tersenyum puas tetapi tidak bagi ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock, apabila dia mengidamkan sesuatu yang lebih besar untuk skuadnya.

Ketika jurulatih lain hanya mampu bermimpi, Seu Bock mampu berasa puas apabila dua anak didiknya -- Goh Jin Wei dan Soniia Cheah -- berentap dalam final, dengan Jin Wei meraih emas sementara Soniia akur dengan pingat perak.

Prestasi kedua-dua pemain itu, terutama dalam aksi separuh akhir adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Begitupun, Seu Bock mahu melihat pencapaian ini sebagai permulaan untuk mengubah perwatakan skuad perseorangan wanita negara.

"Mereka perlu buktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk naik ke tahap yang lebih tinggi. Mereka perlu bekerja lebih keras.

"Keputusan tidak akan datang bergolek, yang penting mereka perlu berlatih bersungguh-sungguh kerana mentaliti perseorangan wanita amat lemah," jelas Seu Bock.

Antara pendekatan yang mahu diterapkan Seu Bock adalah dengan memindahkan falsafah pemikiran Datuk Lee Chong Wei kepada anak-anak didiknya.

Bagi Seu Bock, aura Chong Wei tidak hanya eksklusif kepada skuad perseorangan lelaki.

"Kita boleh lihat ketika final Kejohanan Dunia apabila Nozomi Okuhara berdepan PV Sindhu. Bagaimana rali berjalan dengan panjang.

"Ketika pemain wanita kita menyaksikan perlawanan itu, mereka berasa takut. Kenapa nak rasa takut? Mereka juga manusia biasa. Kamu perlu berlatih dengan kuat.

"Itulah yang saya mahu tekankan di sini," tambah Seu Bock.