Tidak berpuas hati sering bertukar pasangan menjadi alasan pemain beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly, mengambil keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Amelia berkata dia mengambil masa sebulan sebelum membuat keputusan menghantar surat untuk keluar daripada badan induk itu.

Jelasnya, kerap kali ditukar pasangan menjadikan dirinya tidak konsisten selain perlu bermula dari awal untuk mencari rentak dan keserasian.

Sehubungan itu, Amelia berasakan sudah tiba masanya untuk membawa haluan sendiri, apatah lagi dia masih mengalami kecederaan di tapak kaki.

"Jurulatih sudah mula menggandingkan saya dengan pasangan yang lain. Ini bermakna saya perlu bermula dari bawah kembali dan itu membuatkan saya sakit hati."

Amelia, yang pada mulanya bergandingan bersama Soong Fie Cho sehingga berjaya meraih pingat emas Sukan SEA 2015 beralih arah kepada Teoh Mei Xing, sebelum ditukar pula untuk berpasangan bersama Goh Yea Ching.

Menyifatkan tiada penyesalan atas keputusan yang dibuat sekalipun Sukan SEA hanya tinggal kira-kira kurang empat bulan lagi, Amelia percaya beregu wanita lain mampu menghadirkan pingat buat negara tanpa penampilannya.

"Saya tidak pasti dapat beraksi dalam Sukan SEA atau tidak memandangkan senarai nama pun belum dikeluarkan lagi.

"Setakat ini, negara kita mempunyai tiga pasangan yang mantap, iaitu Vivian (Hoo Kah Mun)-(Woon) Khe Wei, (Lee) Meng Yean-(Chow) Mei Kuan dan (Lim) Yin Loo-(Yap) Cheng Wen.

"Saya berasakan, dengan kehadiran ketiga-tiga pasangan beregu ini, mereka mampu memenangi pingat emas," tambahnya.