Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Seluruh England selepas mengatasi pemain Belanda, Mark Caljouw, dengan straight set, awal pagi tadi.

Aksi di Birmingham itu menyaksikan Zii Jia mempamerkan ketenangan untuk mengawal segenap penjuru gelanggang dengan baik bagi kemenangan 21-13, 21-17 dalam masa 44 minit, sekali gus melebarkan rekod pertemuan mereka kepada 2-0 selepas kali terakhir bertarung dalam Terbuka Jerman 2019.

Zii Jia akan berentap dengan jaguh dari Denmark yang menyingkirkannya dalam separuh akhir edisi 2020, Viktor Axelsen, untuk penentuan juara.

Juara bertahan itu mara selepas mengecewakan rakan senegara, Anders Antonsen, 16-21, 21-7, 21-17.

RESULTS: YONEX #AllEngland2021 SF #JPN ?? Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo def. #MAS ?? Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (3) 21-14 22-20 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Saturday, March 20, 2021



Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, disingkirkan wakil kurang ternama dari Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Mereka gagal menepati status sebagai pilihan ketiga apabila dibayangi permainan jitu lawan itu dalam set pertama.

Tersentak, finalis 2017 itu mempamerkan rentak agresif untuk mendahului 11-3 tetapi akhirnya membenarkan lawan mengikat kedudukan 20-20 sebelum kecundang 20-22.