Juara Terbuka Jerman, Goh Sze Fei, menyifatkan tiada apa yang lebih penting daripada mengekalkan prestasi menjelang kejohanan tertua, Seluruh England 2022 yang bermula esok.

Beregu lelaki itu, berkongsi dia mengalami gangguan fokus sebelum berangkat ke Eropah ekoran tekanan dihadapi namun sebaliknya dia tampil dengan aksi lebih berani di saingan Terbuka Jerman.

Sze Fei dan pasangannya, Nur Izzuddin Rumasani berjaya meraih gelaran pertama Siri Jelajah Dunia sejak enam tahun bergandingan selepas menjuarai Terbuka Jerman 2022.

Pemain berusia 24 tahun berkenaan lega mampu atasi gangguan fokus yang berpunca dari terlalu banyak berfikir tentang perlawanan bakal dihadapi.

Tambahnya, apa yang lebih penting adalah sikap berani di atas gelanggang itu perlu dikekalkan di Birmingham nanti.