Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, tidak mahu anak buahnya terlalu merisaukan servis baru hingga menjejaskan tumpuan mereka dalam Kejohanan Seluruh England.

Servis baru yang mula diperkenalkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam Terbuka Jerman minggu lalu itu menyaksikan beberapa pemain beregu negara berdepan masalah untuk melakukan pukulan servis dengan betul.

Ia dikatakan menjadi antara sebab yang menjejaskan prestasi beregu lelaku utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan sedikit kesilapan servis akan memberikan mata kepada pihak lawan.

Paling penting buat mereka adalah persiapan mental untuk mengharungi pertarungan dengan beregu dari Jepun.

"Mereka pernah tumpas kepada pasangan beregu ini.

"Maka, adalah penting mereka memberi tumpuan kepada perlawanan ini." kata Soon Kit.

Peraturan servis baru BWF mensyaratkan servis perlu dilakukan pada ketinggian 1.15 meter ketika memukul bulu tangkis, yang membawa kepada keadaan yang kucar-kacir kepada pemain serta kepada pengadil servis yang keliru dengan kedudukan sebenar pukulan servis.

Bagi Soon Kit, pemain negara perlu segera menyesuaikan diri bagi memastikan ia tidak menjadi perangkap kepada mereka.

"Ia menjurus kepada taktikal.

"Adalah penting pemain Malaysia mempamerkan kesungguhan dan semangat berjuang.

"Dengan semangat juang, apa sahaja boleh boleh berlaku," katanya lagi.

V Shem-Wee Kiong akan turun hari ini berdepan Takeshi Kamura-Keigo Sonada dari Jepun manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pula berdepan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardian.