Tiada kata-kata yang mampu diluahkan perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, apabila kecewa gagal melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Seluruh England di Birmingham, malam tadi.

Paling menyedihkan buat Soniia, cara kekalahan itu yang sukar diterimanya tatkala dia sudah di ambang kemenangan.

Mengawal sepenuhnya pertarungan menentang pemain Indonesia, Fitriani Fitriani, Soniia mempamerkan aksi cemerlang dalam set pertama untuk menang 21-18.

Dalam set kedua, dia meneruskan momentum itu sehinggalah pada kedudukan 18-13, pergerakannya tiba-tiba terkunci pada mata ke-18 dengan Fitriani mengutip mata demi mata untuk menyamakan kedudukan, seterusnya mengutip dua mata akhir untuk kemenangan 21-19 lalu aksi berlanjutan ke set penentuan.

Kekalahan set kedua itu jelas menyentap semangat Soniia sehingga dia tidak mampu memberikan tentangan dalam set ketiga untuk tumbang 9-21.

"Saya berasakan terlalu mahukan kemenangan dalam perlawanan ini.

"Buat masa ini, saya amat kecewa di atas kekalahan ini dan tiada apa yang boleh diungkapkan," katanya.