Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengharungi pertarungan yang cukup mendebarkan sebelum pasangan beregu campuran negara itu mencatat kemenangan 18-21, 24-22, 21-15 ke atas wakil Ireland, Sam Magee-Chloe Magee, dalam pusingan pertama Kejohanan Seluruh England, sebentar tadi.

"Dalam set pertama, kami masih tidak biasa dengan corak permainan lawan yang banyak membuat servis ke belakang.

"Kemudian, kami mengubah pendekatan permainan dan akhirnya menang," kata Liu Ying.

Dalam set pertama, Peng Soon-Liu Ying bergelut menyaingi lawan dan sering kali gagal menghadirkan pukulan-pukulan bahaya.

Namun, pujian harus diberikan kepada Peng Soon-Liu Ying kerana tidak mudah menyerah kalah meskipun ketinggalan jauh dalam set kedua apabila mempamerkan persembahan jitu untuk pertarungan diheret ke set penentuan.

"Kami terpaksa mengubah taktikal kerana percaturan awal tidak menjadi.

"Sebaik menukarkan taktikal itu pada kedudukan 12-15, kami menemui jalan untuk meraih kemenangan," kata Peng Soon.