Tiada siapa menyangka Pearly Tan- M. Thinaah berupaya mencipta kejutan ke atas Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dalam kempen awal Kejohanan Badminton Seluruh England hari ini.

Lebih menakjubkan, beregu wanita negara itu menidakkan lawan yang berada di ranking kelapan dunia menerusi kemenangan staright set dalam 36 minit.

"Kemenangan ini satu kejutan buat kami sendiri, kami tidak menjangkakannya.

"Kami beraksi dengan agak baik, bergandingan, berkomunikasi selain amat yakin dengan keupayaan sendiri," kata Pearly.

Menurut Thinaah pula: "Kami harap dapat mengekalkan momentum dalam perlawanan selepas ini.

"Seluruh England adalah kejohanan besar dan kemenangan dalam aksi pertama amat baik buat kami."

Menanti Pearly-Thinaah selepas ini adalah wakil tuan rumah, Jessica Hopton-Jenny Moore.

Bagaimanapun, tiga wakil lain yang membuat penampilan sulung dalam seluruh england ucap selamat tinggal lebih awal.

Wakil tunggal perseorangan wanita daripada kem kebangsaan, S. Kisona, ditunjuk jalan keluar oleh sandaran Thailand, Busanan Ongbamrungphan menerusi kekalahan 6-21, 7-21.

"Saya perlu berusaha lebih keras untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Saya agak ketinggalan, kurang berpengalaman dan sedar kelemahan sendiri untuk beraksi lebih baik," katanya pula.

Kempen wakil BAM juga berakhir dalam saingan beregu lelaki apabila Low Hang Yee-Ng Eng Cheong tewas kepada beregu Denmark 16-21, 19-21.

"Semalam kami tidak sempat menguji gelanggang jadi ia memberi kesukaran buat kami.

"Kami tidak menangani beberapa mata penting dengan baik," kata Eng Cheong.


RESULTS: YONEX #AllEngland2021 R1 #MAS ?? Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (3) def. #DEN ?? Mathias Thyrri-Mai Surrow 21-23 21-15 21-12 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Thursday, March 18, 2021


Dalam masa sama, tiga lagi wakil profesional negara gagal mengikuti jejak beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang menundukkan beregu Denmark, Mathias Thyrri-Mai Surrow, 21-23, 21-15, 21-12.

Satu lagi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, gagal menepati status sebagai pilihan kelima kejohanan apabila terkandas kepada Sam Magee-Chloe Magee dari Ireland.

Sementara itu, hajat dua beregu lelaki , Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk mengorak langkah ke pusingan seterusnya juga tidak kesampaian apabila tewas kepada lawan maisng-masing.