Menjelang saingan Kejohanan Badminton Seluruh England 2019, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mengimbau kenangannya beraksi dalam kejohanan suatu ketika dahulu, khususnya pertemuan final 1986 menentang Morten Frost.

Sebagaimana pemain ternama dunia yang lain, Misbun turut tidak pernah ketinggalan mengharungi pengalaman beraksi dalam Seluruh England.

Impian untuk beraksi dalam kejohanan badminton tertua di dunia ini sudah pun mula ditanam di mindanya sejak berumur lapan tahun.

Sepanjang kariernya, Misbun pernah beraksi sebanyak lapan kali, bermula pada 1980 dengan pencapaian terbaiknya adalah mara ke pentas final edisi 1986 sebelum tumpas 15-2, 15-8 kepada Frost yang mewakili Denmark.

"Siapa yang bermain dalam Seluruh England, ia sama seperti pemain bola sepak beraksi di Stadium Wembley. Ia memiliki sejarah yang tersendiri," kata Misbun.

Ketika itu, Seluruh England berlangsung di Arena Wembley, London, sebelum ia berpindah ke Arena Birmingham pada 1994.

Meskipun sepanjang bergelar pemain, dia gagal untuk mengecapi kejayaan dalam Seluruh England, Misbun tetap boleh mendabik dada sebagai jurulatih apabila anak didiknya, Hafiz Hashim, muncul perseorangan lelaki negara yang memenangi kejohanan itu selepas 37 tahun serta Datuk Lee Chong Wei dalam edisi 2010.

"Saya tewas kepada Frost selepas berjaya melangkah ke final. Salah satu lagi kenangan saya adalah tewas kepada pemenang lapan kali kejohanan ini, Rudy Hartono, dalam suku akhir," tambahnya.