Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terus mengalami kemerosotan prestasi apabila tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Seluruh England berikutan aksi hambar di Birmingham, sebentar tadi.

Turun menentang lawan dari Indonesia, Hafiz Faisal-Gloria Emanuelle Widjaja, pasangan beregu campuran negara itu sekadar memberi tentangan dalam set pertama sebelum tunduk 18-21.

Malangnya, kebangkitan yang diharapkan dalam set kedua tidak menjadi, sebaliknya aksi mendukacitakan disajikan Kian Meng-Pei Jing yang tewas mudah 11-21.

"Saya tidak tahu nak cakap apa, sehingga saat ini pun saya masih tertanya-tanya apa yang berlaku," ujar Pei Jing sejurus pertarungan berakhir.

Apa yang menyedihkan, mereka pernah dijulang antara yang terbaik, namun tampak kaku di atas gelanggang selain tiada persefahaman.

Malah, setiap pukulan mereka mudah dimatikan pihak lawan dan Kian Meng-Pei Jing seakan-akan ketandusan idea untuk menyaingi Hafiz-Gloria.

"Kami tidak ada keyakinan. Kekalahan set pertama menyebabkan keyakinan kami semakin merudum.

"Untuk mengejar semula kedudukan, jurang pula sudah terlalu besar," kata Kian Meng pula.

Sementara itu, tuah menyebelahi perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, yang mara ke pusingan kedua selepas lawannya dari China, He Bingjiao, menarik diri ketika ketinggalan 6-1 akibat kecederaan.

"Ini bukan perlawanan yang mudah, dia adalah lawan yang hebat.

"Bagus juga dapat mara ke pusingan kedua tetapi saya harap bukanlah dengan cara seperti ini," kata Jin Wei.

Dalam masa sama, beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, hanya memerlukan tempoh 31 minit untuk menyingkirkan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, 21-13, 21-17.