Beregu lelaki kedua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, bangkit di ambang kekalahan untuk mengikut jejak rakan sepasukan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham, awal hari ini.

Ia hari yang menakjubkan buat dua beregu lelaki negara itu, namun tumpuan pasti terarah kepada Yew Sin-Ee Yi yang mempamerkan semangat juang tinggi.

Mereka bangkit dalam set ketiga ketika ketinggalan 13-18 sebelum menoktahkan kemenangan menakjubkan 21-16, 16-21, 23-21 ke atas beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

"Kami percaya dengan diri sendiri dan tidak berputus asa. Kami percaya walaupun ketinggalan, kami boleh kejar mereka," kata Ee Yi.

Pasangannya, Yew Sin, berkata: "Kami memberi tekanan sebab kami mahukan kemenangan. Kami berjaya mengawal tekanan itu sebab akhir-akhir ini permainan kami pun kurang bagus."

Terdahulu, beregu lelaki utama negara, V Shem-Wee Kiong, turut mempamerkan aksi cemerlang dengan menyingkirkan pilihan kelima dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, 21-13, 21-17 dalam tempoh 31 minit.

"Daripada segi kutipan mata, nampak seperti mudah tetapi sebenarnya tidak. Kami cuba menyesuaikan diri dalam gelanggang," kata Wee Kiong.

Dalam pusingan kedua awal pagi nanti, V Shem-Wee Kiong akan berdepan pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge, manakala Yew Sin-Ee Yi akan menentang pilihan pertama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia.

"Kami membuat persiapan baik hari ini. Rentak permainan, termasuk servis juga baik, ia menunjukkan perancangan kami berjalan lancar," kata V Shem.