Beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, seharusnya mencari jawapan terhadap prestasi longlai di penghujung set yang menutup peluang mereka mencapai peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England BWF.

Selepas melakar kejutan dalam aksi sengit ketika menundukkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin, Yew Sin-Ee Yi turun motivasi tinggi meneruskan saingan dalam pusingan kedua, tetapi sebentar tadi pengembaraan mereka di Birmingham dinoktahkan oleh Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Sekalipun memulakan set pertama dengan garang apabila meninggalkan lawan dengan keputusan 11-7, tetapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh beregu negara membenarkan gandingan dari Indonesia itu menyamakan kedudukan, seterusnya menang 21-18.



Permainan wakil negara itu tampak lebih kemas dalam set kedua apabila mendahului 11-6.

Tapi episod serupa berulang apabila mereka mula melepaskan beberapa mata penting untuk membiarkan lawan merapatkan jurang, secara tidak langsung meranapkan harapan mereka untuk melangkah jauh.




Sementara itu, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, gagal menepati ramalan selaku pilihan keenam apabila tumbang 12-21, 21-22, 19-21 kepada Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.