Jurulatih beregu lelaki negara, Rexy Mainaky, kecewa dengan kekalahan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam pusingan pertama Seluruh England 2023, semalam.

Rexy merumuskan kekalahan taruhan utama negara itu berpunca daripada pertukaran taktikal gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, yang bijak mematahkan serangan Aaron-Wooi Yik.

Di atas kertas, beregu negara dilihat memiliki kelebihan berdasarkan empat kemenangan tetapi gandingan seteru serantau berusia 22 tahun itu sebalik mendominasi awal pertarungan dengan 21-18.

Usaha Aaron-Wooi Yik menyempurnakan kebangkitan selepas memenangi 21-14 tidak menjadi kenyataan apabila juara Masters Indonesia dan Masters Thailand tahun ini tersebut tampil lebih agresif untuk menoktahkan kemenangan 21-13.

"Kalau bercakap pasal keputusan, pasti bukan saya sahaja yang kecewa, pemain juga kecewa.

"Tapi apa yang mengecewakan saya ialah dalam set pertama. Mereka sebenarnya menguasai permainan cuma dalam mata getir, mereka sedikit mengendurkan asakan.

"Dalam set kedua bagus tapi dalam set ketiga, pemain negara sedikit tertekan apabila beregu pihak lawan tidak membenarkan mereka bermain di depan jaring.

"Mereka agak tersentak. Mereka tidak cuba memperlahankan rentak lawan malah terikut-ikut menyerang.

"Ia membangkitkan motivasi lawan hingga Aaron-Wooi Yik menjadi tidak tentu arah. Mereka kelihatan sudah memaksa diri dan tidak ikut perancangan lagi," katanya ketika dihubungi Nadi Arena sebentar tadi.